Sunday, July 17, 2011

Kisah Khabbab Bin Alarat....


Pada kali ini, marilah sama-sama kita memikirkan sejenak mengenai pengobanan dan kepayahan salah seorang sahabat Rasulullah SAW dalam menegakkan agama yang dianutinya. sahabat yang dimaksudkan ialah Khabbab Bin Alarat r.a.

Khabbab ialah seorang manusia yang telah banyak berkorban kerana agama yang telah dianutinya. Dia awal-awal lagi telah memeluk agama Islam dan oleh yang demikian penderitaan yang ditanggungnya pun agak lama juga. Dia telah dipaksakan memakai baju besi dan disuruh berbaring dipasir, mendedahkan badannya pada panas matahari yang terik hingga kulitnye mengelupas. Khabbab adalah seorang hamba abdi kepada seorang perempuan. Apabila diketahui oleh si perempuan tadi yang dia sering melawat Nabi Muhammad s.a.w kepalanya diselar dengan panas yang merah membara.

Umar r.a.hu semasa beliau menjadi Khalifah telah bertanya kepaha Khabbab tentang penderitaannya dikala mula-mula menganuti agama Islam dahulu. Sebagai menjawab dia menunjukkan parut-parut luka dibelakang badannya. Kata Umar,"Aku tidak pernah melihat belakang badan yang sedimikian rupa." Melanjutkan ceritanya dia mengatakan yang dia telah diheret diatas suatu timbunan bara api sehingga lemak-lemak dan darah yang mengalir dari badannya memadamkan bara-bara api itu. Apabila agama Islam telah merebak ke merata-rata tempat, Khabbab sering duduk menangis sambil berkata:"Nampaknya Allah s.w.t. sedang memberi ganjaran bagi segala penderitaan yang kita alami. Mungkin di akhirat nanti tidak ada ganjaran yang bakal kita terima."

Khabbab bercerita:

"Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah mengimami kami dalam sembahyang. Rasulullah s.a.w telah memanjangkan suatu rakaat. Diakhir sembahyang itu kami bertanya tentang rakaat yang panjang tadi. Rasulullah s.a.wmenjawab:"Saya telah membuat tiga permintaan kepada Allah s.w.t.. Saya berdoa:"Ya Allah, janganlah hendaknya ummatku mati kerana kebuluran, janganlah hendaknya ummatku dihapuskan oleh musuh dan janganlah hendaknya mereka berkelahi sesama mereka"."Allah s.w.t.. telah menunaikan hanya dua permintaanku yang pertama."

Khabbab telah meninggal dunia apabila usianya meningkat tiga puluh tujuh tahun. Dia merupakan sahabat yang pertama sekali dikebumikan di Kufah. Pada suatu ketika apabila Ali r.a.hu melalui pusaranya beliau pun berkata:"Moga-moga Allah s.w.t. memberkhati dan melimpahkan rahmatNya keatas Khabbab. Dia telah memeluki Islam dengan segala senang hati dan telah menumpukan segala tenaganya semasa ia hidup untuk berusaha dijalan Allah, walaupun dengan berbuat demikian dia menderita kesusahan. Berbahagialah orang yang sentiasa mengingati hari Kiamat, yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi perhitungan diAkhirat nanti, yang berpuas hati dengan hidup berdikit-dikit didunia ini dan yang perbuatannya mendatangkan keridhaan tuhan."

Keridhaan Allah s.w.t.lah yang menjadi matlamat tunggal perjuangan hidup para sahabat semuanya. Semoga kita semua juga akan mendapat keridhaan Allah s.w.t.


Friday, July 1, 2011

'Bulan Sya'ban'

Dengan Naman Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, sedar atau tidak sedar kita dah memasuki bulan sya'ban.....
sungguh cepat masa berlalu dan insyaAllah tidak lama lagi kita pula akan menghadapi bulan ramadhan yang merupakan bulan yang sangat mulia diberkati oleh Allah SWT.

Sya'ban merupakan bulan Rasulullah SAW..Sabda baginda yang bermaksud 'dinamakan dengan sya'ban (berserak-serak ) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak'

Antara amalan-amalan yang digalakkan dalam bulan sya'ban ialah:

1. memperbanyakkan puasa sunat seperti yang disabdakan oleh baginda SAW yang bermaksud,

Aisyah r.a. berkata: aku tidak pernah melihat nabi lebih banyak berpuasa sunat melainkan pada bulan sya'ban ( HR; Bukhari ).

Dari Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah , Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i dan Ahmad. Dihasankan oleh Albani ).

2. Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3. memperbanyakkan ibadah pada pertengahan bulan sya'ban.

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bangun malam dengan bersolat dan baginda telah memanjangkan sujudnya sehingga aku menyangka bahawa baginda telah dicabut nyawanya.


Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah SAW:

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان

"Allahuma Bariklana fi rOjab wa sya'ban wa ballighna ROmadOn"

Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

dan banyak lagi amalan-amalan yang digalakkan dan mudah-mudahan kita diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mengerjakan sebanyak mungkin ibadah sebagai bekalan kita untuk bertemu dengan-Nya . InsyaAllah...