Saturday, May 5, 2012

Ingat Allah,,,Hati Pasti Akan Tenang




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Penyayang...

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, kerana telah memberikan kita ruang dan kesempatan untuk terus berada di bumi yang fana' ini untuk sama-sama  kita berusaha mengislahkan dan memperbaiki diri sebagai persiapan kita untuk menghadapi hari kemudian. MasyaAllah,,,sudah sekian lama tidak menyentuh laman maya ini menjadikan saya berasa begitu rindu dan bersemangat untuk berkongsi sedikit mutiara kata yang mana mudah-mudahan ianya menjadi satu motivasi dan peringatan bersama-sama dalam usaha kita untuk mencari keredhaan dan kasih sayang Allah SWT di muka bumi ini.

InsyaAllah, pada kali ini, marilah sama-sama kita merenungkan semula firman Allah SWT yang bermaksud :

" iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya   dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang"  ( surah Ar-Ra'd  ; 28 )

ketenangan dan ketenteraman jiwa adalah satu nikmat Allah yang sangat besar dan hanya diberikan kepada hambanya yang terpilih sahaja. ramai orang mengatakan sesuatu ketenangan itu ialah apabila kita berjaya mengumpul seberapa banyak harta, mempunyai rumah yang besar dan sebagainya, tetapi sebenarnya hakikat ketenangan itu adalah sesuatu yang dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dan dan rasa ringan untuk melaksanakan dan menyempurnakan ketaatan kepada perintahnya. 

Jiwa yang tenteram adalah jiwa yang banyak mengingati allah tidak kira di mana juga. Hati yang hidup merupakan hati yang banyak mengingati Allah manakala hati yang mati adalah hati yang payah dan sukar untuk mengingati Allah malah banyak mengingati tentang hal keduniaan semata-mata. 

Sabda Nabi, "Mahukah aku beritahu kamu tentang amal yang paling bersih di sisi Tuhanmu dan paling tinggi mengangkat darjatmu, dan lebih baik bagimu dari berperang melawan musuh, kamu memenggal leher mereka dan mereka pun memenggal leher kamu?" Para Sahabat menjawab, "Khabarkan kepada kami." Rasulullah S.A.W. pun bersabda, "Zikir (ingat) kepada Allah". (HR Hadis At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah, "Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah di masa berdiri, di masa duduk dan di masa berbaring." (An-Nisa' 103)

Firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42).

Thursday, November 17, 2011

Perihal Puasa Sunat....

Bismillahirrahmanirrahim......

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kehadrat Allah SWT atas segala pemberian nikmat dan kesenangan kepada semua hamba-hambanya. firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud " Dan ingatlah ketika tuhan-Mu memaklumkan , 'sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan tambah ( nikmat ) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari ( nikmat-Ku ), maka pasti azab-Ku sangat berat"

InsyaAllah, pada kali ini, marilah sama-sama kita berkongsi mengenai amalan puasa sunat yang merupakan amalan yang disukai oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Antara sabdaan Rasulullah mengenai amalan puasa sunat....

pertama:Diriwayatkan dari 'Aisyah r.a menceritakan bahawa;"Adalah Rasulullah s.a.w amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis
(Riwayat Imam Tarmizi.menurut beliau hadis ini soheh)

kedua:Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah bersabda;"Dibentangkan amalan-amalan dihadapan Allah pada hari isnin dan khamis.Maka aku menyukai dibentangkan amalanku(dihadapan Allah) pada ketika aku berpuasa"
(Riwayat Imam Tirmizi)

ketiha;Abi Qatadah menceritakan bahawa Rasulullah ditanya tentang puasa hari isnin.Baginda menjawab;"Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan(menjadi nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku"
(H.R Imam Muslim)

Disamping itu banyak kelebihan yang kita dapat perolehi dari amalan ini seperti mendidik nafsu, mendisplinkan diri, memudahkan pembelajaran dan meningkatkan kesihatan diri.Apa yang kita tunggu lagi sedangkan kita tahu pelbagai hikmah dan kebaikan apabila kita lakukanya,Ayuh jom kita bersama-sama lakukanya semoga mendapat rahmat dan berkat dari Allah!!



Sunday, September 18, 2011

Nasihat Tentang Sahabat.....

Berikut ialah wasiat Alqamah kepada anaknya mengenai sahabat, tulisan seorang ulama' tersohor:

Seorang alim bernama Alqamah telah berwasiat kepada anaknya. Antara wasiatnya ialah:

"Apabila tercetus di hatimu berkawan dengan seseorang, pastikan jika engkau berkhidmat dengannya, dia boleh mengawal dirimu."

"Andainya kamu bersahabat dengannya dia boleh menghias dirimu, sekiranya pada suatu ketika kamu kekurangan belanja dia boleh berbelanja untuk kamu."

"Bersahabatlah sekiranya kamu hulur satu kebaikan lalu orang itu pun berbuat demikian, apabila melihat kebaikan daripadamu lantas dikutipnya dan dihimpun kerana menghargainya."

"Apabila melihat keburukanmu lantas ditutupnya, bersahabat rapatlah kamu kepada orang yang jika kamu meminta sesuatu (nasihat atau apa sahaja) lantas dia memberimu segera."

"Apabila kamu berdiam diri tidak meminta sesuatu darinya, dia menunjukkan rasa resah gelisah. Sekiranya bala menimpamu, dia merasa simpati dan bertimbang rasa."

"Bersahabatlah apabila kamu berkata sesuatu, dia mengiyakan sahaja. Sebarang perkara usaha sungguh-sungguh yang kamu hendak lakukan, dia segera memberi sokongan. Dia segera mengalah ketika berbalah denganmu."

Demikianlah wasiat Alqamah kepada anaknya mengenai sahabat yang sangat tinggi nilainya terutama bagi melaksanakan amal kebaikan dalam gerak kerja Islam.

Tingkat persaudaraan yang paling rendah ialah berlapang dada, manakala tingkat persaudaraan yang paling tinggi ialah 'ithar' iaitu mementingkan sahabat-sahabatnya lebih daripada dirinya sendiri.

Saturday, September 17, 2011

Kisah Seorang Penjual Tempe...

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Allah, aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika kerana kacang tu masih tetap kacang soya.


Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”.

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!

Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Allah dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.


Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amiin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!!

Dia pun terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Allah tidak adil. Allah tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.”Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya “Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.



Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah.Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?”

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah…

Moral: Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina." (Al Mu'min : 40)


Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Allah :)

“Hanya urusan-Nya (Allah), bila Dia menghendaki (mengadakan ) sesuatu, ia berkata kepadanya: Jadilah engkau! Lalu jadilah ia.” (Surah Yasin : 82)

Uwais Al-Qarni : Tidak terkenal di bumi, terkenal di langit

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali k.w.: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Saidina Umar dan Saidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."

Memang benarlah kata-kata Rasulullah SAW, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah SAW maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.

Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga."

Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini."

Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala."

Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa."

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali: "Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni."

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: “Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku." Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: "Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Saidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” (HR Muslim)

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.

Wallahua’lam.


Sunday, July 17, 2011

Kisah Khabbab Bin Alarat....


Pada kali ini, marilah sama-sama kita memikirkan sejenak mengenai pengobanan dan kepayahan salah seorang sahabat Rasulullah SAW dalam menegakkan agama yang dianutinya. sahabat yang dimaksudkan ialah Khabbab Bin Alarat r.a.

Khabbab ialah seorang manusia yang telah banyak berkorban kerana agama yang telah dianutinya. Dia awal-awal lagi telah memeluk agama Islam dan oleh yang demikian penderitaan yang ditanggungnya pun agak lama juga. Dia telah dipaksakan memakai baju besi dan disuruh berbaring dipasir, mendedahkan badannya pada panas matahari yang terik hingga kulitnye mengelupas. Khabbab adalah seorang hamba abdi kepada seorang perempuan. Apabila diketahui oleh si perempuan tadi yang dia sering melawat Nabi Muhammad s.a.w kepalanya diselar dengan panas yang merah membara.

Umar r.a.hu semasa beliau menjadi Khalifah telah bertanya kepaha Khabbab tentang penderitaannya dikala mula-mula menganuti agama Islam dahulu. Sebagai menjawab dia menunjukkan parut-parut luka dibelakang badannya. Kata Umar,"Aku tidak pernah melihat belakang badan yang sedimikian rupa." Melanjutkan ceritanya dia mengatakan yang dia telah diheret diatas suatu timbunan bara api sehingga lemak-lemak dan darah yang mengalir dari badannya memadamkan bara-bara api itu. Apabila agama Islam telah merebak ke merata-rata tempat, Khabbab sering duduk menangis sambil berkata:"Nampaknya Allah s.w.t. sedang memberi ganjaran bagi segala penderitaan yang kita alami. Mungkin di akhirat nanti tidak ada ganjaran yang bakal kita terima."

Khabbab bercerita:

"Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah mengimami kami dalam sembahyang. Rasulullah s.a.w telah memanjangkan suatu rakaat. Diakhir sembahyang itu kami bertanya tentang rakaat yang panjang tadi. Rasulullah s.a.wmenjawab:"Saya telah membuat tiga permintaan kepada Allah s.w.t.. Saya berdoa:"Ya Allah, janganlah hendaknya ummatku mati kerana kebuluran, janganlah hendaknya ummatku dihapuskan oleh musuh dan janganlah hendaknya mereka berkelahi sesama mereka"."Allah s.w.t.. telah menunaikan hanya dua permintaanku yang pertama."

Khabbab telah meninggal dunia apabila usianya meningkat tiga puluh tujuh tahun. Dia merupakan sahabat yang pertama sekali dikebumikan di Kufah. Pada suatu ketika apabila Ali r.a.hu melalui pusaranya beliau pun berkata:"Moga-moga Allah s.w.t. memberkhati dan melimpahkan rahmatNya keatas Khabbab. Dia telah memeluki Islam dengan segala senang hati dan telah menumpukan segala tenaganya semasa ia hidup untuk berusaha dijalan Allah, walaupun dengan berbuat demikian dia menderita kesusahan. Berbahagialah orang yang sentiasa mengingati hari Kiamat, yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi perhitungan diAkhirat nanti, yang berpuas hati dengan hidup berdikit-dikit didunia ini dan yang perbuatannya mendatangkan keridhaan tuhan."

Keridhaan Allah s.w.t.lah yang menjadi matlamat tunggal perjuangan hidup para sahabat semuanya. Semoga kita semua juga akan mendapat keridhaan Allah s.w.t.


Friday, July 1, 2011

'Bulan Sya'ban'

Dengan Naman Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, sedar atau tidak sedar kita dah memasuki bulan sya'ban.....
sungguh cepat masa berlalu dan insyaAllah tidak lama lagi kita pula akan menghadapi bulan ramadhan yang merupakan bulan yang sangat mulia diberkati oleh Allah SWT.

Sya'ban merupakan bulan Rasulullah SAW..Sabda baginda yang bermaksud 'dinamakan dengan sya'ban (berserak-serak ) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak'

Antara amalan-amalan yang digalakkan dalam bulan sya'ban ialah:

1. memperbanyakkan puasa sunat seperti yang disabdakan oleh baginda SAW yang bermaksud,

Aisyah r.a. berkata: aku tidak pernah melihat nabi lebih banyak berpuasa sunat melainkan pada bulan sya'ban ( HR; Bukhari ).

Dari Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah , Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i dan Ahmad. Dihasankan oleh Albani ).

2. Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3. memperbanyakkan ibadah pada pertengahan bulan sya'ban.

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bangun malam dengan bersolat dan baginda telah memanjangkan sujudnya sehingga aku menyangka bahawa baginda telah dicabut nyawanya.


Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah SAW:

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان

"Allahuma Bariklana fi rOjab wa sya'ban wa ballighna ROmadOn"

Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

dan banyak lagi amalan-amalan yang digalakkan dan mudah-mudahan kita diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mengerjakan sebanyak mungkin ibadah sebagai bekalan kita untuk bertemu dengan-Nya . InsyaAllah...